Sunday, June 8, 2008

Aiman-Remaja Lumpuh(Kesah Benar)

Dalam sessi rondaan ke wad pada suatu hari saya bertemu dengan seorang pesakit saya.Umur lingkungan 15-16 tahun.Agak ramah dan dilihat bersapaan dengan jiran-jiran nya yg merupakan peaskit-pesakit orthopedik lain.Namanya Aiman sebagaimana tertera di papan tanda katilnya. Yang menjaganya ialah seorang kanak-kanak muda sikit dari nya."adik saya" kata Aiman.Aiman telah dilanggar kereta ketika buat stunt dengan motorsikal nya dimana dia cuba mengangkat tayar depan motor nya lalu terjatuh atas punggung.Tulang sacrumnya pecah dan dia lumpuh kedua kakinya.Bahkan dia tak dapat kawal air kencingnya.Dia mendapat rawatan awal di HKL dan telah menjalani pembedahan.
Seperti biasa saya cuba untuk memahami remaja ini dengan menanyakan latarbelakangnya.Saya terkejut bila ditanya ayahnya kat mana?"saya tak tahu"emak dimana"saya tak tahu"Dan dia minta untuk tinggal di hospital lebih lama lagi.
Saya yakin remaja ini mempunyai banyak masaalah.Oleh itu saya minta pelajar-pelajar saya supaya menemuduganya.
Saya paparkan apa yang ditulis oleh pelajar-pelajar saya mengenai remaja ini.Para doktor tidak sepatutnya sekadar merawat pesakit .Banyak kali ada penyakit yang mereka hadapi adalah hasil penyakit sosial yang endemic dalam masyarakat.

KISAH AIMAN

Muhamad Nur Aiman, 16 dilahirkan pada 28 Mac 1991 di kampung Wakaf Stan, Kota Bharu, Kelantan. Beliau merupakan anak kedua daripada enam adik-beradik. Sejak 2 tahun yang lalu Aiman sudah tidak bersekolah...

Bapanya seorang tukang kikir cincin dan amat tersohor di Wakaf Stan pada satu ketika dahulu. Bapanya menyewa sebuah kedai bagi menjalankan perniagaan ukir cincin dan mencari nafkah untuk keluarganya. Ibu Aiman seorang suri rumah tangga. Pada mulanya kehidupan mereka sekeluarga bahagia tetapi menjadi kucar kacir apabila ibu dan bapanya sering bergaduh sejak anak ketiga dilahirkan pada 1992. Bapanya sering memarahi dan memukul ibu Aiman. Menurut cerita nenek sebelah ibunya, bapa Aiman seorang penagih dadah.

Sejak itu kehidupan mereka sekeluarga sudah berubah. Malang sekali lagi menimpa keluraga Aiman apabila selepas melahirkan anak yang ke-enam, ibunya menghadapi masalah kemurungan. Ibunya menjadi seorang yang pendiam dan tidak mengenali anaknya yang baru dilahirkan. Selepas 2 bulan, ibu Aiman diceraikan oleh bapanya dan ibunya dibawa ke Pantai Senak untuk dijaga oleh keluarganya di sana. Sewaktu kejadian itu berlaku Aiman baru berumur 5 tahun.

Aiman dan 5 adik-beradiknya yang lain tinggal bersama bapa mereka di Wakaf Stan bersama-sama dengan nenek mereka. Semasa tinggal bersama bapanya, Aiman sering dipukul dengan getah paip. Pernah pada suatu hari nyawanya hampir melayang apabila dia diikat pada batang pokok dan disimbah dengan minyak tanah untuk dibakar. Mujurlah ada jiran yang melihat perbuatan bapanya itu dan sempat menghalangnya.

Mereka sekeluarga tinggal bersama selama 6 tahun sehinggalah pada suatu hari bapa Aiman lari meninggalkan mereka. Pada waktu itu Aiman berumur 11 tahun.

Di sekolah Aiman seorang pelajar yang bermasalah. Sejak sekolah rendah lagi dia sering ponteng kelas dan sering bergaduh dengan rakan-rakan. Dia juga agak ketinggalan dalam pelajaran, buktinya dia hanya memperoleh 2C dan 3E dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Selepas bapanya melarikan diri, kesemua adik beradiknya diambil dan dijaga oleh bapa saudaranya yang juga mempunyai 5 orang anak kecuali Aiman yang dijaga oleh neneknya. Aiman seorang anak yang bermasalah tidak mahu dijaga oleh bapa saudaranya.

Aiman tinggal bersama dengan neneknya lebih kurang 2 tahun sehinggalah neneknya meninggal dunia secara tiba-tiba sewaktu sedang berkebun. Hidup Aiman menjadi gelap, dia sudah tidak ada tempat bergantung lagi. Tiada ibu, tiada ayah, nenek tempatnya menaruh harapan pula sudah tiada. Tidak lama selepas neneknya meninggal dunia, dia dibuang sekolah kerana tidak mampu membayar yuran, tambahan pula dia seorang pelajar yang bermasalah. Pada ketika itu Aiman berada di Tingakatan 2.

Aiman hidup seorang diri di rumahnya sehiggalah pada suatu hari dia dihalau daripada rumah itu, kononnya rumah dan tanah itu telah dijual oleh bapanya. Lalu dia mengambil keputusan untuk merantau ke Kuala Lumpur untuk meneruskan hidupnya.

Dia bekerja di sebuah stesen minyak Shell di Kepong dan menyewa rumah bersama kawan-kawannya. Oleh sebab kos kehidupan yang tinggi dan hanya berbekalkan gaji sebanyak RM800 sebulan, dia tidak mampu menyewa rumah lagi dan berpindah ke rumah bapa saudaranya di Kepong yang bekerja sebagai pegawai di Jabatan Perhutanan Malaysia.

Aiman yang sudah ada latar belakang yang tidak stabil senang dipengaruhi oleh gejala sosial di bandar. Buktinya dia terlibat dengan perlumbaan motor (rempit) hampir setiap malam. Dia dihadiahkan seorang perempuan kerana memenangi salah satu daripada perlumbaan tersebut. Menurutnya, dia merempit untuk melepaskan tekanan dan rasa marah terhadap kehidupan yang terpaksa dia lalui sejak kecil.

Di sebalik perangainya yang bermasalah, diia tidak pernah mengambil dadah, ubat batuk, minum arak dan tidur dengan mana-mana perempuan. Tetapi kadang-kadang kakinya pernah melangkah ke kelab malam atas ajakan kawan. Dia juga tidak pernah mencuri walaupun di tempat kerjanya. Akan tetapi dia meghisap rokok; 2 batang sehari.

Dia sudah jauh terjerumus. Soal agama, solat dan puasa sudah lama ditinggalkan. Dia bukannya tidak tahu tetapi menurutnya dia malas….

Tuhan itu Maha Berkuasa…Pada suatu hari di bulan puasa (Okt 2007) dia terlibat dengan satu kemalangan menyebabkan sehingga hari ini dia tidak dapat berjalan malah tidak dapat bangun kerana disyaki terdapat masalah pada tulang belakangnya. Sekarang dia dirawat di wad 4 selatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Aiman sedikit sebanyak telah mendapat pelajaran atas apa yang berlaku kepadanya. Dia menyesal tidak belajar bersungguh-sungguh sehingga dibuang sekolah. Dia tahu tanpa segulung sijil di tangannya dia tidak akan mempunyai masa depan. Dia mempunyai harapan yang tinggi agar dapat menyambung pelajarannnya apabila dia sudah sembuh. Dia juga berjanji tidak akan mensia-siakan hidupnya lagi. Hatinya masih keras untuk kembali ke jalan Allah, namun sedikit demi sedikit atas bimbingan yang diberikan, pintu hatinya kelihatan terbuka walaupun tidak sepenuhnya.

Menurut nenek sebelah ibunya, bapa Aiman sekarang sedang menjalani pemulihan di Pusat Serenti Pahang. Ibunya pula berada bersama keluarganya dan masih tidak sihat (masih dalam kemurungan), tetapi masih boleh menguruskan diri sendiri. Ibunya sentiasa rindukan anak-anaknya. Setiap kali terkenangkan mereka, air mata jernih mengalir membasahi pipinya. Kadang-kala dia mengamuk kerana menyangka anak-anaknya telah melupakannya. Anak-anaknya datang menjenguk setiap kali hari raya.

Jelas tergambar di mata Aiman dia dahagakan kasih sayang yang telah diragut daripadanya sejak kecil lagi. Dia rindukan ibunya….dia rindukan neneknya…...dia rindukan keluarganya….dia impikan kehidupan yang sempurna seperti insan lain…

Disediakan oleh:
Azimah Fakri
Chuah Ming Jie
Erinna Mohd Zon
Khairul Bariah Noh
(Pelajar Perubatan Tahun 4 /2007 USMKK)

Friday, May 23, 2008

Isteri dan suami yang sakit

En R adalah seorang kakitangan dari sebuah agensi kerajaan.Umurnya dalam lingkungan empat pulohan.Dia datang ke klinik ortopedik dengan kerusi roda.Isterinya menolak masuk ke bilek dengan berwajah ceria munkin cuba melindung perasaan dalamannya.Setelah memeriksa beliau saya terus menerangkan jenis penyakitnya dan memberinya peluang untuk membuat pilihan.Sebenarnya beliau sudah dinasihatkan supaya melakukan pembedahan tetapi beliau teragak-agak.Perkara ini tidak pelik.Apa tah lagi jika pembedahan melibatkan leher dan melibatkan tulang belakang bersangkutan pula dengan urat tunjang.Dengan cara yg tidak berapa sopan beliau di suroh pulang kerana keengganan dan tidak diberi surat cuti(MC).Diringkaskan cerita beliau telah menjalani pembedahan dan beransur pulih.Setiap kali datang ke klinik beliau akan ditemani oleh isteri beliau.Saya cukup gembira dan memang perasaan sorang doktor amat puas hati sekiranya pesakit nya mula menunjukkan tunjuk balas yg positif.Happy Ending Insyallah.Dia pun sudah mula dapat berjalan dan kerja dapat bawa kereta sendiri.Tapi Takdir Allah lain pula yg berlaku.Boss tempat kerjanya adalah kebetulan jiran saya.Dia cerita si R ini murung dan depressed dalam ofis.Rupanya isterinya telah meminta perpisahan dan sudah kahwin.Terkejut betul saya sedangkan saya lihat semasa di klinik betapa prihatin nya isterinya pada dia dan sabar sepanjang beliau dalam wad.
En H adalah pesakit saya yg juga berkerusi roda.Lumpuh kerana patah tulang belakang.Sahabat paling setianya ialah handphone dia.Beliau ini saya kategorikan sebagai hospital bird.Kerap keluar-masuk wad kerana komplikasi kelumpuhannya biasanya apa dikatakan bed sore.Dia kehilangan isteri dan anak-anak selepas kemalangan yg beliau alami.Apabila diketahui beliau kekal lumpuh isteri beliau minta diceraikan.Beliau tidak ada pilihan.Saya memang nak tanya beliau banyak perkara tapi saya bimbang saya jadi emosional pula.
Ini dua senario yg saya temui.Saya juga bertemu dengan isteri yang cukup setia dengan suami.SiMH lumpuh kedua belah tangan dan kaki.Hanya dapat bergerak kepala sahaja itupun tidak berapa kuat.Beliau seorang muda awal tiga pulohan.Penagih dadah.
Tapi penagih dadah bukan tipikal.ia ada isteri dan mempunyai kerja tetap.Si isteri sentiasa berada dengan beliau dan cukup bermotivasi.Pernah saya menulis surat ke seorang Exco yg kebetulan kawan saya untuk beri bantuan kambing-kambing supaya beliau dapat menyara hidup bantu suaminya.
Manakala si B pula seorang yg juga lumpoh akibat kemalangan jalan raya dan patah tulang belakang.Beliau berkahwin dengan seorang janda dalam keadaan beliau lumpuh dan juga alat kelamin dia juga lumpuh.Mereka berdua sentiasa saya temui di klinik tampak mereka berdua serasi.Si B pernah minta saya prescribe Viagra untuk beliau.
Jadi begitulah bentuk isteri-isteri, ada yang setia,ada yang tak dapat menanggung masaalah.